Category Archives: Lampiran

Lampiran

Kedatangan pagi. Kabus tetap akan menerjah ke langit. Bertebaran lalu bertembung dengan cahaya matahari pagi menerbitkan cahaya perak yang berkilau-kilauan. Kabus yang terkuak buat menelus cahaya matahari di celah-celah molekul molekulnya menggegarkan kekuatan embun-embun di dada dedaun. Akhirnya ibarat gadis yang kelesuan, embun-embun itu tetap menyerah kalah kepada kekuatan cahaya matahari, lesu, kaku, bisu dan begitulah setiap hari seolah-olahnya itulah qadak dan qadar Tuhan yang mustahil akan berubah sifatnya. Kampung Bukit Setugal tetap berdiri megah sebagai pelindung, penampung dan penyampai segala hasrat suka duka penghuninya. Di atas sejalur tanah yang terbentang dibangunkan pelbagai tanaman dan bangunan tempat membuang keringat dan berehat penghuninya. Tanah sawah, tanah getah, tanah dusun dan tapak rumah yang masing-masing daripada penduduknya memiliki sekangkang kera. Di situ, merdekalah mereka memugar dan menggemburi tanah tersebut dengan sekehendak hati mereka. Bertahun-tahun mereka begitu lalu jajaran pokok-pokok kelapa, getah dan pelbagai pepohonan menabiri pemadangan mata. Sebatang sungai mengalir di puncak Bukit Setugal ia berpunca. Sungai itu membelah tanah-tanah sawah yang terbentang sesayup mata memandang. Aur-aur yang menumpang berdiri di tepi-tepi tebing sungai itu meliuk-liuk dedaunnya bergeseran setelah ditiup angin. Sungai Cheneor yang secara tidak rasmi dinamakan oleh peneroka awal Bukit Setugal, setiap hari sejak wujudnya, ia tetap matang, waras dan dewasa dengan pengalamannya. Airnya yang deras tetap menghanyutkan sampah-sarap,membiakkan anak-anak baung, temalian, kenerap, patin, jelawat, sengiring, tilan, kelah, tapah, belida dan puluhan jenis ikan-ikan lagi. Tetap juga ia menerima kehadiran aur-aur di tebingnya. Tetap juga ia menerima manusia-manusia yang mulia, yang berdosa, yang zalim, yang munafik yang Muslim dan yang kafir membuang sisa-sisa badan mereka ke dalam aliran airnya yang ganas itu. Empat puluh tahun sejak dibuka,Kampung Bukit Setugal bagaikan manusia yang telah mencapai usia matang dan dewasanya. Tempoh yang sepanjang itu telah merakamkan kisah suka duka
manusia. Hidup mati, bercinta, berkasih sayang, bertunang-lanang, berlaki dan bercerai-berai, bermenantu, bercucu, malah tempoh itu juga telah menyaksikan ada penduduk Kampung Bukit Setugal yang berbini dua, berbini tiga dan berbini empat. Gelak tawa dan tangis kesedihan, kelazatan dunia dan kesukaran kehidupan adalah anugerah Tuhan yang silih berganti datang dan pergi, begitulah masa dan sejarah Bukit Setugal berlalu tanpa dapat dihentikan. Pada sebuah surau yang dibina di atas nama gotong-royong, berdiri pada mukmin, fasik,munafik, zalim, zindik dan segala manusia yang mengaku dirinya beriman. Di atas nama persaudaraan Islam, lalu berkumpul dan berpisah mereka kemudian berkumpul lagi lalu berpisah lagi. Begitulah seolah-olahnya suatu kemestian setiap Jumaat atau hari-hari kebesaran. Surau itu telah uzur. Sudah ada ura-ura sebuah bangunan bernama masjid yang akan menggantikannya, berperanan dengan peranan yang tidak ada sedikit ubahnya dengan peranan surau tua itu. Surau tua itu sudah uzur! Di situ tidak lagi seramai mana manusia yang datang berkenduri-kendara, merayakan maulidar-Rasul s.a.w. atau merayakan Asyura bagi mengingati kejayaan kap Nabi Nuh a.s. yang berjaya berlabuh di Bukit Judi atau juga merayakan Asyura sekadar mengingati kematian berdarah Syaidina Husain r.a. di bumi Karbala. Sejak akhir-akhir ini kesunyian lebih banyak menemani surau tua itu daripada keriuhan takbir, tahmid dan tasbih ke hadrat Allah. Itulah kehidupan. Itulah juga sunah alam. Zaman senang dan zaman susah,masa libur dan masa kesedihan.Semuanya adalah ujian dan cubaan kepada keimanan yang mengaku dirinya beriman. Tuhan tetap berkuasa. Dia tetap meletakkan manusia pada tarafnya. Tuhan tetap mengasingkan perjuangan manusia  mukmin, fasik, zalim, munafik dan perjuangan manusia kafir dalam menempuh perjalanan hidup mereka.